Saturday, September 11, 2010

Datuk Sosilawati Lawiya Hilang???

*sumber : utusan malaysia online*

sape la y xkenal dgn jutawan kosmetik ni kan.. khabarnya die hilang.. btol ke??hurmmm...

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Keluarga pemilik syarikat kosmetik terkenal, Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. (Nouvelle Beauty), Datuk Sosilawati Lawiya membuat laporan polis setelah mendapati usahawan wanita bertaraf jutawan itu hilang sejak 30 Ogos lalu.

Difahamkan, Sosilawati, 47, tidak pulang ke rumah setelah pergi ke Banting, Selangor bersama tiga lagi yang lain untuk menemui seorang peguam bagi menyelesaikan urusan pembelian tanah di Pulau Pinang.

Sosilawati yang juga bekas isteri kepada bekas penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash atau Nasharudin Elias dilaporkan hilang bersama pemandu, peguam peribadi serta seorang pegawai sebuah bank.

Sejak itu, keempat-empat mereka tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi oleh ahli keluarga masing-masing.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, seorang anak Sosilawati telah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Khamis lalu, kerana bimbang keselamatan ibunya itu.

Beliau berkata, polis yang menerima laporan itu buat masa ini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai orang hilang memandangkan tiada mana-mana pihak menghubungi keluarga mangsa meminta wang tebusan.

"Sosilawati bersama pemandu, peguam dan seorang pegawai sebuah bank dimaklumkan telah pergi ke Banting pada 30 Ogos lalu dan tidak pulang ke rumah sehingga kini.

"Mereka dikatakan pergi menaiki dua kereta termasuk sebuah kereta Mercedes-Benz milik Sosilawati," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Muhammad Sabtu berkata, usaha menjejaki keempat-empat mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an dan kereta dinaiki mereka sehingga kini tidak berhasil.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapatkan bantuan daripada Jabatan Siasatan Khas (D9) Bukit Aman untuk membantu menjalankan siasatan dan mengesan mangsa.

Setakat ini, katanya, polis sudah memanggil tiga individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan iaitu anak Sosilawati dan isteri kepada dua mangsa yang lain.

"Kita juga sedang menyiasat dakwaan bahawa mangsa hilang bersama sejumlah wang.

"Siasatan bagi mengesahkan perkara itu penting kerana terdapat keterangan bercanggah iaitu sama ada mangsa membawa wang tunai atau cek," katanya yang enggan mendedahkan jumlah wang didakwa dibawa oleh mangsa.

Namun, difahamkan, Sosilawati membawa wang berjumlah jutaan ringgit berkemungkinan untuk digunakan bagi proses urusan pembelian tanah berkenaan.

Menurut Muhammad Sabtu, polis memerlukan kerjasama orang ramai untuk memberi maklumat bagi membantu mengesan mangsa.

Katanya, sesiapa yang ternampak atau mempunyai maklumat lokasi mangsa berada boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Difahamkan, selain membuat laporan polis, keluarga Sosilawati turut mendapatkan bantuan daripada pengamal perubatan tradisional untuk membantu mengesan usahawan terbabit.

Sementara itu, difahamkan, salah seorang anak Sosilawati ada menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ibunya dalam tempoh tersebut bagaimanapun ia sukar difahami.

Anak mangsa yang cuba menghubungi Sosilawati namun gagal.

Hasil maklumat diterima keluarga mangsa, polis juga ada menyerbu sebuah rumah di Jalan Duta, di sini, namun tidak menemui mangsa.

Kali terakhir Sosilawati dilihat berada di khalayak ramai adalah semasa menghadiri majlis berbuka puasa bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, anjuran Dewan Perniagaan Melayu Selangor, 28 Ogos lalu.

Sementara itu, Nash mendoakan bekas isterinya dalam keadaan selamat dan tiada perkara buruk berlaku.

"Saya tak tahu apa-apa sehinggalah dihubungi wartawan yang mahu minta komen,'' katanya menerusi SMS di sini hari ini.

Menurut Nash, beliau bukanlah individu yang sepatutnya ditanya mengenai perkara itu kerana hubungannya dengan Sosilawati sudah berakhir dan wanita itu juga sudah berkahwin lain.

"Sepatutnya tanya suami dia sebab semua orang tahu dia ada suami. Saya tiada kena mengenai lagi dengan dia, tapi doa saya supaya dia selamat,'' jelasnya lagi.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...